Penglibatan belia dalam kesukarelawan, aktiviti kemasyarakatan diketengahkan



​​


Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohamad Azmi Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor/ Morshidi, Azmah Haji Ahad, Muhammad Asri Haji Awang Abas, Alishahrin Haji Mumin

 





BERAKAS, Isnin, 22 April. – Bersesuaian dengan tema 'Membudayakan Belia Pemedulian dan Prihatin', sebanyak 12 buah institusi pengajian tinggi tempatan yang mempamerkan program kesukarelawanan dan kemasyarakatan yang dikendalikan oleh para pelajar di institusi masing-masing menyertai pameran anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB).

 

Antara institusi pengajian tinggi tempatan yang menyertainya adalah daripada Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Politeknik Brunei (PB), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE), Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB), Kolej Perniagaan Laksamana (LCB), Kolej Perdagangan dan Teknologi Cosmopolitan (CCCT), Institut Kemuda dan Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS).

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyaksikan pameran berkenaan di Ruang Legar, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, di sini.

 

Berangkat sama menyaksikan pameran, paduka-paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.

 

Dalam pameran ini, YSHHB juga turut sama mempamerkan program kesukarelawan yang melibatkan penyertaan para belia tempatan selaras dengan salah satu tujuan penubuhan YSHHB iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat.  


Visi Sukarelawan YSHHB adalah mendukung dasar penubuhan YSHHB manakala, misinya iaitu menyediakan saluran ahli sukarelawan untuk tampil ke hadapan menyumbang khidmat bakti mereka.


Selain itu, pameran lain antaranya mengetengahkan Nadi Al-Qawi Al-Amin yang mula ditubuhkan secara rasmi pada 22 Oktober 2022 selari dengan kewujudan Fakulti Pendidikan Sains Kemasyarakatan (FPSK) KUPU SB.


Konsep penubuhannya adalah sebagai wadah platform persatuan pelajar di bawah FPSK KUPU SB dalam mengaplikasikan ilmu-ilmu pengetahuan, pengalaman dan kemahiran bagi melahirkan pelajar KUPU SB.


Penubuhan ini menyasarkan segala bentuk aktiviti yang melibatkan khidmat kemasyarakatan dan kemanusiaan khususnya kebajikan dan kerohanian.


Dalam pada itu, Jawatankuasa Kerja Bahagian Pemeran, Dayangku Hajah Asiah binti Pengiran Haji Damit semasa ditemu bual Pelita Brunei menjelaskan pameran ini mendedahkan dan melatih para belia di samping, menggalakkan dan mengumpulkan para belia untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan dan kebajikan.

 

Beliau seterusnya berharap tema tahun ini akan dapat dimanfaatkan oleh para belia ke arah kerja pemedulian.

 

Manakala, Pensyarah/ Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Dayang Nurfitrisha Aliesha binti Abdullah Chua dari Institut Kemuda berkata ianya merupakan kali keempat menyertai pameran yang dianjurkan oleh YSHHB.

 

Pada tahun ini, Institut Kemuda katanya, banyak melakukan aktiviti-aktiviti belia, menderma dan menolong orang yang susah. Melaluinya, tambahnya akan dapat mendedahkan para belia kepada masyarakat.

 

Close